Archive for September, 2005

JIRAN

Thursday, September 8th, 2005

Wahai Jiranku
Mengapa kau hingar bingar
Gaduh fasal air dan tanah
Perkara-perkara yang tidak berfaedah

Wahai Jiranku
Lebih baik kau penuhkan tabungmu
Bukan setakat berdiri di penjuru
Terpekik-pukau dengan melulu

Wahai Jiranku
Tekadmu untuk menyeksa aku
Sedangkan aku berusaha selalu
NAH! Sekarang aku minum air baru

Wahai Jiranku
Berhentilah kau menuding jari
Berusahalah untuk diri sendiri
Bukan asyik bertukar janji

(NIE, Kuliah Ckg Osman, 1003hrs, 31.07.2002)

JANGAN

Thursday, September 8th, 2005

Wahai srikandi nusa
Payah kau menyimpul kecundang tidak terkira
Kuat lemah mainan duniawi
Berteguhkan semangat ukhrawi
Pasti jiwa ternoda bersih suci

Wahai srikandi watan
Payah kau menenun tewas tidak keruan
Tinggi rendah mainan minda
Berteguhkan jiwa kukuh permata
Pasti nyawa terserlah indah

Jangan kau khuatir esok tiada lagi
Jangan kau resah masa tidak menanti
Jangan kau pasrah waktu melambai pergi
Jangan kau kecewa hilang sinar suria pagi

Wahai srikandi bangsa
Payah kau menjahit hampa gusar berkata
Jauh rapat tidak kekal jaraknya
Berteguhkan pedoman setiap masa
Pasti batin abadi di alam sana

Wahai srikandi dunia
Payah kau menyulam gugur tidak terkilan
Kecil besar beza hanya pada rupa
Berteguhkan iktibar buana
Pasti tekad molek berbunga

Jangan kau khuatir esok tiada mimpi
Jangan kau resah masa tidak selari
Jangan kau pasrah waktu melambai mati
Jangan kau kecewa bumi sana pasti abadi

Menadah telapak tangan memohon harapan wahai srikandi

(Marsiling, 29.04.03, 0045hrs)

IRONISINORI

Thursday, September 8th, 2005

Ruang yang kosong
Terlalu sempit untuk diisi
Partikel atom banyak terapung
Melanggar atas bawah kiri kanan
Tiada landasan tetap
Hakikat untuk memadatkan ruang yang kosong

Ruang yang sempit
Tetap ada sela belum dipenuhi
Partikel atom banyak berlegar
Merempuh utara selatan timur barat
Ada laluan lurus
Hakiki untuk memadatkan ruang yang kosong

Kosong terlalu sempit
Sempit bertambah rumit
Membawa bicara sengit
Ironis

(NIE, Kuliah Ckg Pitchay, 1100hrs, 09.01.03)