Archive for August, 2005

DIRUNDUNG MENDUNG

Tuesday, August 9th, 2005

DIRUNDUNG MENDUNG

Lihat di sekelilingmu wahai bayu
Sedang kau meniup serunai lagu alam
Ada kehidupan yang teguh ada yang layu
Malah yang cerah kian menjadi kelam

Kala kau mainkan serunai dengan lagu mendayu
Ramai anak-anak watan jiwa tenggelam
Paras mereka sungguh sayu
Dari siang hingga ke malam

Tukarlah rentak kumandang serunaimu itu
Cucu-cicitku kini semakin wegah
Kebaratan mereka sungguh jitu
Kealpaan dan keberahian di megah-megah

Dibuatnya haru aku ini wahai bayu
Alunan suaramu bak buluh perindu
Menagihkan citra pepohon kayu
Di biar terlentang tumbuh sepadu

Kekataku ini tiada tersirat
Diterapkan di maya apa tersurat
Bukan niatku untuk menjerat
Nisbah hidup menjadi hakikat

(Marsiling, 11.11.20, 1950hrs)

BUMBUNG MERAH

Tuesday, August 9th, 2005

BUMBUNG MERAH

Enam kiraan sepuluh purnama kurun Masihi 2002
Tanggal sejarah menyatukan landasan
Kereta api berhijrah dari timur ke barat
Sepasang merpati putih
Ditandakan miliknya kepada gerangan
Saling menjeling menggerbang sayap

Namun gejala ada di merata-rata
Harus berwaspada senantiasa
Semoga landasan lurus di hala
Tatkala sampai disatukan pula

Bumbung merah penghindaran gejala
Sepasang merpati berkicauan ria
Ku teringat ungkapan manja si uda
Mungkin belum lagi masanya
Setakat kenalan untuk sementara

Hari ini
Ku kalungkan ke leher merpati sejoli
Berbunga harum tanda tahniah
Semoga tali menyelubungimu
Berkekalan di persada takhta

(NIE, Kuliah Ckg Othman, 07.10.2002, 1325hrs)

BULU TEBAL

Monday, August 8th, 2005

BULU TEBAL

Kitaran bumi senantiasa berubah
Kau pula mengada-ada
Pentingkan wujudmu seperti kau punya
Sedangkan nafasmu dikawal Pencipta

Aku tidak sebaik mana
Tiada sayap tiada pula cahaya di kepala
Hanya aku tidak lupa
Bahawa kehadiranku hanya sementara

Perhatikanlah di sekelilingmu
Perlukah semua harus akur kehendakmu
Sedangkan mammoth dahulu tebal berbulu
Kini gajah tidak pula begitu

Kau perlu akur kepada ciptaan Tuhan
Bukan Tuhan harus memenuhi nafsumu
Apakah kau akan memaksa Pencipta turunkan hujan
Jika kemarau melanda kulitmu?

(NIE, Kuliah Ckg Ali, 15.08.02, 0920hrs)

BANNER

Monday, August 8th, 2005

BANNER

Banner! Banner! Banner!

Abjad kata-kata Melayu menjelma berani

Turun mengangkat sembah tatatertib kepada Maharani

Bersilang kaki keris terhunus sayu di belakang

Menyoraki daulat kepada Sultan kian lekang

Banner! Banner! Banner!

Kain rentang lantas bertukar menjadi kain kapan

Menyelimuti baka bangsa hidup tak keruan

Dahulu tanah dijajah kini minda dibendung

Maharani disanjung tatkala Sultan terlantar diusung


‘Indahnya Bahasaku’ hilang kegemilangan bak permata digilap santau

(Marsiling, 27.04.03, 1135hrs)

BAJINGAN DALANG CELAKA

Monday, August 8th, 2005

BAJINGAN DALANG CELAKA

Mulia si anjing menggonggong tulang
Berkongsi santap bersama taulan

Anjing itu tempat berteduh
Anjing itu tempat bermuzakarah
Anjing itu tempat pedoman
Anjing itu tetap membantu

Perayu jalanan kidung pasrah
Anjing menyalak meniup semangat

Anjing itu suci daripada manusia
Manusia yang bersikap kehaiwanan
Sentuhan hanya disertu bersama tanah
Kudus kotoran di telapak tangan

Nisyon bajingan terapung menggila
Barua terhadap agama bangsa negara

Kau bajingan pancalongok
Kau bajingan matyai
Kau bajingan ogak
Kau bajingan sial

Memedi memperkosa minda tunas
Kau perosak berdengking tidak keruan

Dasar keranta menghinggapi bangkai
Kompang pipi mu kerdam
Jijik punggung mu celaka
Merekah bernanah pekung berdarah

Bercakap tidak berupa buat
Engkaulah bajingan terkutuk di bumi
Menuding jari kepada si anjing
Padahal diri sendiri bajingan bangsat
Inikan pula kau beria-ia mahu mendidik keturunan
Sedangkan kau bacul dikembiri
Dada mu pekung bak tangki kosong
Dipalu semakin bising persis benak kepinding

(Marsiling, 15.02.03, 1850hrs)

ASMOHAM

Sunday, August 7th, 2005

ASMOHAM

Dua belas purnama kau bersama
Kini kau berlayar ke tempat sama
Hanya beza pada nama

Kau mengemudi hingga aku tahu mana pasang surut
Kau memandu hingga aku tahu mana liku
Kau menyusuri udara hingga aku tahu mana persada

Bayanganmu jauh dari sini tetapi dekat di sanubari
Aku seperti hilang sayapku tetapi aku ingat pada pelitamu

Aku bertekad untuk berjuang mengejar waktu
Mencoret kertas yang akan aku genggam
Pada saat itu giliran aku pula beroleh gelaranmu
Untuk menyambung membela nusa dan bangsa

ASMOHAM
Sekalung budi aku tenun di lehermu
Selamat Hari Guru 2002

(Marsiling, 1400 hrs, 01.09.2002)

PS - Sajak ini telah disiarkan dalam Berita Harian pada 4hb September 2002

AMAN

Sunday, August 7th, 2005

AMAN

Ampai-ampai menari di dasar laut
Sang lumba-lumba bergurau tanpa takut
Karang batu melindung berlindung terlindung
Alam hijau biru jernih bersenandung
Tatkala ombak menyisir pantai
Sang pari-pari menempuhi badai
Walaupun nun jauh kan ia capai
Tetap menakat melemaskan lalai
Dua dasawarsa kian berlalu
Sekali air bah sekali pantai berubah
Menyimpul kekata lidah nian kelu
Merebah hasrat mengepung lemah
Bahtera yang karam berupa rahmat
Nyenyawa lautan dikejar mengejar terkejar
Paus meredah air akibat kudrat
Tirai hitam kan berubah menjadi fajar

(Marsiling, 10.02.03, 0015hrs)

AKU TERIMA

Sunday, August 7th, 2005

AKU TERIMA

Aku terima
Maka ku bina bumbung di atas ubunnya

Aku terima
Maka ku kenyangkan dan ku hilangkan dahaganya

Aku terima
Maka ku tenun kain meliputi tubuhnya

Aku terima
Maka ku didik supaya cerna mindanya

Aku terima
Maka ku pertahankan mahkotanya

Aku terima amanah itu dengan mahar jiwa dan raga
Bukan setakat memiliki zahir dan batinnya

Genggamanku dieratkan dan diayun
Sah! Sah! Sah!

Aku terima kasihnya

(NIE, Kuliah Ckg Pitchay, 09.09.02, 0930hrs)

AKU ADALAH DIA DALAM DIRIMU

Sunday, August 7th, 2005

AKU ADALAH DIA DALAM DIRIMU

Aku rindukan kelibat dirimu
Aku ketagihan bayangan parasmu
Namun kehadiranmu samar dalam diriku
Terlalu jauh bagai beribu batu

Suluhlah cahaya suriamu
Nyahkanlah kegelapan yang mengaburi dirimu
Bangkitkanlah semangat yang membarai jiwaku
Kini kau hilang ku tangisi tidak berlagu

Wahai suria yang bersemayam di tubuhku
Ku panjatkan doa agar kita kembali bersatu
Iltizammu itu ibarat panduan hidupku
Ke marilah wahai keramat jiwa bukan seteru

(NIE, Ujian Penggal Bahasa Melayu, 30.10.02, 1155hrs)

ADUN

Sunday, August 7th, 2005

ADUN

Kaum Tun Teja kini membonggol dada
Dicumbui mata teruna derhaka
Betis dan paha dijilat rakus dek minda
Auratnya kini mempergadaikan maruah

Dang Anum kasihan dibunuh Sultan
Mendampingi zuriat sungguh terkilan
Ramai sunti dipengaruhi syaitan
Membusung tanpa ikatan sembilan bulan

Hajah Fatimah tokoh yang berada
Membina masjid mengaup pahala
Wanita kian ramai membelek kertas berharga
Malangnya bab busana tetap papa

Lupa beradun sengaja

(NIE, Tutorial Ckg Othman, 1105hrs, 16.01.03)