Doa Awal Tahun 1424 Hijrah
Doa Awal Tahun 1424 Hijrah
Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam
Selawat dan salam ke atas junjungan besar
Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya
Ya Allah, Yang Maha Memberi
Berikanlah mereka cinta
Cinta sejati di antara anak-anak dan cucu-cicit Adam
Berikanlah mereka pedoman
Pedoman agar lurus penghijrahan mereka
Berikanlah mereka keamanan
Keamanan sejagat agar umat manusia hidup serumpun
Ya Allah, Yang Maha Pelindung
Lindungilah mereka daripada gangguan Syaitan
Syaitan bukan setakat iblis tetapi juga Dajal di nubari
Lindungilah mereka daripada kecaman kafirun
Kafirun yang mempergunakan dan memusnahkan mereka
Lindungilah mereka daripada para munafik
Munafik kepada agama, bangsa dan negara
Ya Allah, Yang Maha Pemurah
Murahkan rezeki kepada bumi
Bumi di bawah telapak kaki mereka
Murahkan pahala kepada manusia
Manusia dapat mengautnya setiap masa
Murahkan hati kepala dunia
Dunia pasti sentosa nyaman segar udara
Ya Allah, Yang Maha Kuasa
KuasaMu itu adalah Wahid
Wahid memijak umat manusia durjana
KuasaMu itu bak huruf Alif
Alif tegak terulung bagi segala urusan
KuasaMu itu adalah mutlak
Mutlak tiada tolok bandingan dengan mereka yang kekufuran
Ya Allah, Yang Maha Pengampun
Ampunilah kedua orang tua
Kedua orang tua yang masih dan telah melaksanakan amanah terhadap mereka
Ampunilah guru dan pendidik
Guru dan pendidik ibarat lilin menyuluh kehidupan
Ampunilah kesemua umat manusia
Manusia yang sengaja mahupun tidak lupakan akan kudratMu
Ya Allah, Yang Maha Esa
Mereka menadah kedua telapak tangan ke langit
Mereka mengemis petunjukMu
Mereka iaitu umat junjungan besar Rasulullah SAW
Kabulkan doa mereka iaitu kami
Amin
(NIE, GP Tutorial, 0940hrs, 04.03.03)