Permulaan…

January 5th, 2008 by iltizam

Daulat Tuanku!

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik yang pacal hina masuk menghadap.

Ampun Tuanku, ramai rakyat jelata telah menyidai forum dan blog. Pada hemat patik, baik patik juga ikut serta agar Tuanku dapat mengikut arus gelombang terkini di luar tembok istana.

Ampun Tuanku, patik mohon agar Tuanku tidaklah murka setelah membaca  laporan yang patik catatkan dari masa ke masa. Bacalah dengan minda terbuka dan rasa yang pintar, ampun Tuanku.

Ampun Tuanku, patik minta diri terdahulu untuk menerobos kawasan luar istana untuk menjaring berita. Jumpa lagi, Tuanku.

AFDAL

September 25th, 2007 by iltizam

Menatang minyak yang penuh perlu hati-hati
Jika tidak usaha rugi
Kekesalan mencengkam diri
Minyak juga ibarat pelincir
Maju ke belakang bertempiaran ke hilir
Dikejar tak dapat digendong tercicir
Minyak lagi boleh dijual
Dibeli percuma mendatangkan sial
Kini pengguna seribu kesal.

(Woodlands Dr 75, 26.09.07, 0516 hrs)

BUNGA

September 25th, 2007 by iltizam

Bunga yang layu sayu
Mendendangkan madah rindu
Menusuk kalbu
Bunga mengimbas detik yang ceria
Ketika menenun cinta
Bersama si dia
Bunga kini sepi tak hidup tak mati
Menyepi diri
Bagai bidadari mengusap mata belati.

(Caldecott Hill, 09.09.07, 1030 hrs)

sAyu

August 21st, 2006 by iltizam

Andaikata kau pilih si enggang

Akan ku taburkan doa mewangi

Menghiasi penerbanganmu ke angkasa

Semoga kau bahagia, ceria serta penuh tawa

Sementara aku laksana pipit yang terbang tidak berkawan

Berkicau syahdu bersama si pungguk merindu

Bulan yang dilenyapkan tirai malam

Hanya menunggu waktu yang pasti tidak akan kembali.

Qihua 5/8, 22.08.06, 0823 hrs

KESEDIHAN

November 19th, 2005 by iltizam

Perasaan selubung jiwa
Berkocak di sanubari
Cecair merah bergerak laju
Pemantau semakin berkaca
Terpisah setitik permata jernih dari kelopak
Jatuh ke bumi bersepai diserap entah ke mana

(Kampus Townsville, NIE, Isnin, 04 Februari 2002, 9.05 pagi)

KEPUL

November 19th, 2005 by iltizam

Kesian udara
Dia datang lagi
Walau sebulan dikongkong payah
Tidak bernyala disebabkan dek ibadah
K
ini puntung berkepul indah

Kesian udara
Dia datang lagi
Hendak berhenti niat di hati
Tanam tekad dalam diri
Kini tembakau mainan sehari

Kesian udara
Dia datang lagi
Semakin tipis semakin sesak
Tidak pedulikan si anak-anak
Barah ketawa terbahak-bahak

Kesian udara
Dia datang lagi
Kereta api berbondongan asap
Lepas sebulan semakin kerap
Wang saku semakin lenyap

Kesian udara
Dia datang lagi
Ozon di angkasa berlubang ribu
Semakin sarat hawa di kalbu
Termenungkan kerja menopang dagu

Kesian udara
Dia datang lagi
Udara jadi mangsa
Saraf giat berdoa
Supaya mulut tidak berkepul sentiasa

(Marsiling, 29.11.03, 2045hrs)

KEMBANG SI BUNGA RAYA

November 19th, 2005 by iltizam

Merah kembang si bunga raya
Flora idaman si dara jelita
Kucup harum pesona jiwa
Indah citra sisip di telinga

Merah ceria si malu-malu
Sekali diusik dilipat pilu
Sering dipetik bertalu-talu
Di zaman kecil masa yang lalu

Merah rupa terang benderang
Disakat lalu menjadi girang
Namun si raya tetap kembang
Raut wajah sentiasa senang

Merah padam merah pudar
Setiap masa kau segar bugar
Berkerudung hindar gejala bangar
Namun kembang si raya tetap mekar

(NIE, Kuliah Ckg Othman, 09.10.02, 1010hrs)

KELAMATAHARI

November 16th, 2005 by iltizam

Pagi bagai penyuluh menerawang semesta
Meliputi senja meninggalkan detik sekali lagi
Fajar membahang kehidupan di segenap dunia
Terasa hangat mengalir mendodoikan jiwa
Belantara bersyukur mengembang berjasa kepada bumi
Tunas dididik menimba ilmu
Terkapai-kapai minta dibelai dek tangan ibu
Rama-rama riang ria berterbangan kupu-kupu hilang bayangan
Udara nyaman dihirup berseri-seri
Persekitaran amat menyayat hati

Kelam melanda berkocak semuanya!!!

Pagi bertukar menjadi sepi dinyahkan semangatnya
Angin nyaman disekat merempat menenggelami duha
Belantara konkrit mencapai cakerawala mengaburi fajar
Darah menjadi hangit dibakar gejala
Merah bermaharajalela mencumbui gunung merapi
Anak-anak kecil memaki hamun bonda
Tangan mengapai bilah-bilah pisau merodok belakang
Kupu-kupu menyimpang siang malam
Udara diselimuti debu-debu ironis
Suara lantang mengekang kesucian

(NIE, Kuliah Ckg Pitchay, 1100hrs, 13.01.03)

Kata Atau Laku

November 16th, 2005 by iltizam

Kata

Tenunan indah semata-mata

Manis bak madu berbunga

Tatkala bercabang racun binasa

Kata

Hanya mengapai selembar suara

Berkilau bak intan permata

Tatkala merosakkan pancaindera

Kata

Menjanjikan lagu bianglala

Mewarnakan putih dengan noda

Tatkala ketawa disulam sengsara

Laku

Keringat bercucuran segar

Merangkumi lelah segala

Tatkala cita-cita terlaksana jua

Laku

Membanting belulang merakam masa

Menguntum senyuman berseri indah

Tatkala mimpi semalam tercapai jua

Laku

Sentiasa menuju dan mara

Yang lama tinggal sejarah

Tatkala mengorak cerdik setiap langkah

Kata atau laku

Laku sahaja daripada kata semata

Kata membuang masa sedang laku capai segala

(Marsiling, 15.06.03, 2330hrs)

KAIN PUTIH

November 16th, 2005 by iltizam

Selembar kain putih
Ditenun sembilan purnama
Kosong di kiri kanannya
Akan dicalit perca kehidupan
Pabila kain putih diwarnakan lantas menjadi lebar
Adakah ia dicemari khinzir, menghiasi lembu,
disalib atau dilukis dua kalimah?
Lalu kain putih bertukar warna
Menjadi lembaran di alam nyata.

(NIE Kampus Townsville, 04.02.02, 0900hrs)